Total Pageviews

Friday, August 21, 2009

Ramadhan datang lagi.

Alhamdulillah bulan Ramadhan datang menjelma lagi.

KEISTIMEWAAN PUASA DAN BULAN RAMADHAN

Setiap orang yang mengaku beriman dengan kebesaran Allah pasti akan bergembira apabila tiba bulan Ramadhan Al-Mubarak. Kerana Ramadhan satu-satunya bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan yang tidak terdapat di dalam bulan-bulan yang lain, oleh itu Rasulullah s.a.w. menjelaskan Ramadhan adalah penghulu kepada sebelas bulan yang lain. Hanya orang yang kenal kelebihan Ramadhan sahaja yang akan bersedia bila menjelangnya bulan mulia ini. Betapa besarnya fadilat bulan Ramadhan ini dapat kita fahami dari hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bererti:

Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta diikat semua iblis dan syaitan.

Oleh kerana itu apabila seorang melangkah masuk ke bulan Ramadhan bererti mereka akan menjalani ujian dan latihan. Kerana itu sudah sewajarnyalah kita membuat persiapan yang perlu dari segi fizikal dan mental.

1. Mengingati semula hukum, syarat sah, syarat membatalkan puasa, perkara-perkara sunat, makruh, adab berpuasa dan hikmat yang terkandung serta perlaksanaan ibadah puasa yang merupakan ibadat yang istimewa ini.

2. Membuat persiapan dari segi niat dan ketenangan jiwa dalam menghadapi bulan puasa seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.

3. Sentiasa berdoa agar Allah memberikan kesihatan, tenaga, kelapangan dan kesempatan mengerjakan ibadah puasa dan mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayahNya supaya kita dapat menunaikan puasa dengan hati yang jujur, tulus ikhlas dijauhi dari riak, ujub dan dari segala rupa penyakit yang mampu menghilangkan pahala puasa.

4.Meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

Bulan puasa itu merupakan bulan utk berjihad menentang hawa nafsu yang sentiasa bergelora menguasai diri. Bulan puasa adalahmenyemai benih untuk akhirat, bulan menghasilkan bekalan untuk hari kemudian, bulan membersihkan dan menyuci diri darisegala dosa serta menghiasi diri dengan budi yang tinggi dan pekerti yang luhur.

Maka oleh itu hendaklah kita menyediakan diri kita dalam melaksanakan hak puasa dengan perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang baik dengan sepenuh hati, jujur dan ikhlas semata-mata kerana Allah.

Kita hendaklah berusaha menyediakan diri untuk menjaga benih-benih amal yang kita tanam di bulan Ramadhan itu kerana seorang yang menanam benih jika tidak membaja, menyiram serta memelihara pasti tidak akan mengeluarkan hasil yang baik apabila datang masa menuai tegasnya semasa berhadapan dengan Allah s.w.t.

Kita hendaklah mengelakkan daripada kebiasan yang memberatkan dan merugikan diri kita seperti berbelanja berlebihan, boros, suka berhibur, membuang masa dan bersembang yang tidak mendatangkan faedah kerana perkara tersebut adalah bertentangan dengan Islam. Sebaliknya hendaklah kita menyambut bulan puasa dengan Iltizam yang tinggi untuk membanyakkan ibadah samada siang atau malam hari dengan kemahuan hendak melatih diri serta mensucikan jiwa.

Kita hendaklah mengucapkan Alhamdulillah di atas kedatangan bulan Ramadhan itu kerana ianya merupakan hak ke atas muslim. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud:

"Daripada hak seorang muslim kepada muslim yang lain ialah apabila mereka menerima kebaikan hendaklah kita mengucapkan tahniah."

Diriwayatkan oleh Ahmad dan Nasaie daripada Abi Khurairah bahawa Rasulullah s.a.w. sentiasa menggembirakan para sahabat di atas kedatangan bulan Ramadhan, bulan yang membawa rahmat serta nikmat yang tidak terhingga kepada mereka yang berpuasa, bulan melebur dosa dan memerdekakan hambanya dari azab api neraka.

Rasulullah s.a.w. menggembirakan para sahabatnya dengan sabda baginda:

Ertinya: "Sesungguhnya akan datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, Allah mewajibkan kamu berpuasa di dalamnya. Pada bulan Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga, dikunci semua pintu neraka, dibelenggu semua syaitan. Di malamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang tidak memperolehi kebajikan pada malam itu berertilah diharamkan baginya segala kebaikan untuk dirinya."

Daripada hadis-hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan:-

1. Bahawasanya bulan Ramadhan adalah bulan istimewa bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat dari Allah s.w.t.

2. Setiap muslim harus mengambil kesempatan daripada ketibaan bulan Ramadhan Al Mubarak ini dengan memperbanyakkan amal-amal soleh samada disiang hari atau dimalamnya.

Bulan Ramadhan adalah bulan penuh rahmat dan barakah, maka setiap orang yang menerima kedatangan bulan Ramadhan ini hendaklah membuat persiapan yang sekucupnya samada dari segi jiwa, fizikal dan spiritual.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...